Kota Kinabalu atau dahulunya digelar Jesselton merupakan ibu kota bagi Sabah yang popular sebagai Negeri di Bawah Bayu.

Tidak dinafikan di ibu kota ini sahaja mempunyai beratus-ratus band pelbagai genre sama ada secara bawah tanah atau bergerak secara arus perdana. Pemuzik bebas di ibu kota ini tidak dapat lagi mengekang lagi perasaan berinspirasi, berinstrumentasi dan berekperimentasi. Ini boleh dilihat melalui kewujudan pelbagai genre sejak kebelakangan ini.

Untuk kali ini, kita akan berkenalan dengan 5 band post-rock yang dipilih oleh penulis. Rasanya bukan ini sahaja band post-rock yang kita ada di Kota Kinabalu tapi penulis ingin berkenalan dengan 5 band ini walaupun sebenarnya band-band ini sudah cukup dikenali oleh scenster di Kota Kinabalu dan khususnya di Sabah.

1. ON OUR OWN

Band yang jatuh cinta dengan muzik instrumental ini sebenarnya hasil jelmaan daripada pelbagai latar belakang muzik. Bergerak aktif di bilik jamming sekitar 2017, jangan hairan jika kepelbagaian mereka ini datangnya daripada pemuzik metal, grind dan punk. Hasil risikan penulis, band ini sedang sibuk recording di sebuah studio di sekitar ibu kota. Yang pasti orang yang terlibat dalam pembikinan karya mereka yang akan dikeluarkan tidak lama lagi adalah orang yang penting dalam scene musik di Kota Kinabalu iaitu Chris Pereira. Tampil bermuzik tanpa vokalis atau pendek kata tanpa lirik, band ini tambah unik dengan iringan tiupan ‘flute’. Baru-baru ini penulis sempat ‘mencuri-dengar’ hasil karya mereka. Satu perkataan, wow! Anda kena sediakan telinga dan tenaga dalaman anda untuk karya band ini.

Line-up :

Momon – Gitar

Greg – Gitar

Jayum – Bass

Ken – Flute

Arnold – Drum

https://www.facebook.com/onourown2017/

2. TREE

Yat Nanar merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menghasilkan band yang dikenali sebagai Tree ini. Yat kemudian mula ‘merekrut’ line-up sesuai dengan bunyi yang diinginkan. Barry dari band metal Ovtfall adalah individu pertama yang diperlawa, seorang lagi menyusul yang dahulunya penulis kenal melalui sebuah band yang dikenali sebagai Art Of Arje. Arjimi seorang gitaris yang verstile dan bijak dalam penyusunan muzik yang sekarang ini berada dalam sebuah lagi band yang tidak asing di Kota Kinabalu iaitu Me Gusta. Dengan kehadiran Sean yang mempunyai pertalian keluarga dengan Barry di posisi gitar bass melengkapkan band experimental post-rock ini. Karya mereka bersulamkan suara alam seperti yang kita boleh dapati dalam Arus Denai, Gunung & Awan serta Elephant Smile. Siapa sangka album pertama mereka diterbangkan sejauh Spain dan Venezuela atas permintaan penyokong mereka di sana.

Penulis gemar menikmati karya mereka yang bertajuk Arus Denai. Anda perlu menutup mata untuk menikmati arus sungai yang mereka bawakan.

Line-up :

Yat Nanar – Guitar

Arjimi – Gitar

Sean – Bass

Barry – Drum

https://www.facebook.com/tree.myofficial/

3. SHOEGAZE OF NEPTUNE

Band ini sebenarnya sudah pun bergiat aktif pada sekitar 2011, jika mengikut penelitian penulis band ini juga merupakan satu cubaan bereksperimentasi oleh Chupi yang sebelum itu mempunyai beberapa band yang berorientasikan metal dan juga punk. Band ini kemudian menyepikan diri buat beberapa ketika sebelum baru-baru ini muncul semula dalam scene musik di Kota Kinabalu. Walaupun info setakat ini kurang diperolehi oleh penulis, tapi dikhabarkan band ini akan muncul dengan sebuah album pada sekitar mac dan april pada tahun hadapan. Chupi yang dihubungi baru-baru ini memaklumkan penulis bahawa untuk album yang akan datang ada terdapat sedikit perubahan di mana mereka cuba tampil dengan lebih agresif sedikit, mereka akan selitkan math rock dalam album tersebut. Difahamkan juga, selepas mereka release album mereka merancang untuk tour di sekitar Brunei dan Kuching.

Line-up :

Chupi – Gitar & Vokal

Bam – Gitar

Nazirul – Bass

Boy – Drum

https://www.facebook.com/shoegazeforneptune2010/

4. IM INNOCENT

Band ambient, pop dan post-rock ini bermula pada tahun 2015. Bernaung di bawah label OBA Records yang akan mengeluarkan EP  ‘Between Two Soul’ pada tahun ini. Seperti band-band sebelum ini, line-up mereka juga datang daripada pelbagai genre sebelum ini. ‘Special Appearance’ band ini di Ghost Town Movement #2 di Brunei sekitar februari lalu menampilkan karya mereka yang akan dimuatkan dalam EP yang akan datang. Hasil risikan penulis juga, band ini sudah memuat naik teaser di lama sosial mereka tentang beberapa lagu yang akan dimuatkan dalam EP mereka. Dengan perkongsian teaser daripada mereka ini, penulis menjangkankan EP yang bakal keluar nanti pastinya mempunyai keunikan dan aura tersendiri.

Pastinya, EP ini paling ditunggu-tunggu. Dimaklumkan sekitar oktober ini mereka bakal release EP.

Line-up :

Jeremy – Gitar

Redzuan – Gitar

Hakim – Keyboard

Innocentclair – Bass

Bryan – Drum

https://www.facebook.com/ImInnocentBand/

5. BOLOS RU BULUR

Band yang lahir di sebuah daerah yang hijau Tenom menggelar diri mereka sebagai Bolos Ru Bulur. Walaupun band ini tidak meletakkan diri mereka sebagai band post-rock tetapi bagi pendapat penulis menerusi penelitian dan pengalaman melihat sendiri persembahan mereka, maka penulis memetik band ini sebagai sebuah band post-rock. Band yang suka merendah diri ini mempunyai karya yang pelbagai diselitkan dengan beberapa lagu dalam bahasa tempatan-murut. Single terbaru mereka ‘Mugar’ merupakan karya yang boleh dikatakan terbaru daripada band ini, single mereka terdahulu yang tidak asing lagi ‘Kaandaman’ lebih mesra pendengar di sekitar Keningau-Tenom kerana lagu ini sering diputarkan di radio tempatan KeningauFM. Lahir pada sekitar tahun 2015, band ini juga menyelitkan unsur modern traditional dalam karya mereka.

Bolos Ru Bulur yang dipetik dari bahasa tempatan di Tenom yang bermaksud bunyi dari bukit masih dalam perancangan untuk menghasilkan EP. Oonsoi!

Line-up :

Steve – Gitar/Vokal

Dep – Gitar

Roy – Gitar/Vokal

Joefazly – Bass/Sape/Melodian/Vokal

Baba – Drum

https://www.facebook.com/bolosrubulur/

Demikianlah perkenalan kita dengan 5 band post-rock di sekitar Sabah, walaupun ada band yang bertapak di luar Kota Kinabalu tetapi biasanya band-band ini tertumpu membuat dengan show di Kota Kinabalu. Seperti band Bolos Ru Bulur yang bertapak di Tenom, tetapi kebanyakan masa berada di Kota Kinabalu untuk membuat persembahan.

Siapa sangka Kota Kinabalu ini mempunyai band-band yang perlu diberikan perhatian kerana karya mereka sudah jauh ke depan. Penulis berharap perkenalan ini mampu membuka jalan kepada band-band untuk terus berkarya dan meneroka dunia luar.

Kita jumpa lagi di lain coretan.